Kelantan Juara Piala Emas Raja-Raja 2010

>> Sunday, December 12


Kelantan muncul juara edisi ke-70, Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010 selepas menundukkan Kedah 4-3 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Perlawanan masa sebenar menyaksikan Kelantan dan Kedah buntu untuk menjaringkan gol seterusnya mengheret perlawanan ke waktu tambahan.

Kelantan selaku tuan rumah turun dengan misi merampas kejuaraan ke-13 melakukan banyak serangan selain menguasai babak perlawanan tetapi ketumpulan jentera penyudah menghampakan hampir 12 000 penyokong setia merah putih.

Kedah yang dilihat lebih banyak bertahan turut kecewa setelah peluang yang diperolehi mereka gagal mencipta jaringan yang dinanti-nantikan.

Serangan Sang Kijang yang diketuai Ramzul Zahini Adenan dan Aris Zaidi kerap kali mengancam kubu Kedah kawalan Al-Hafiz Hamzah namun percubaan demi percubaan yang diledak gagal menepati sasaran.

Babak pertama berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Bersambung babak kedua, Kedah bagaikan mendapat tonik dari ketua jurulatih mereka, Mohd Ramlee apabila melancarkan serangan bertali arus ke gawang Kelantan.

Ketangkasan Mohd Shahrizan Ismail berjaya menyelamatkan tiga percubaan bahaya Kedah termasuk situasi satu lawan satu dengan penyerang lawan pada pertengahan babak kedua.

Shahrizan terus menjadi pemusnah setelah gerakan melalui Firuz Hashim, Ahmad Fauzi Shaari dan Wan Mohd Asraf berjaya di selamatkan.

Kelantan yang tertekan dengan asakan lawan melakukan pertukaran mengeluarkan Aras Abdullah dan Tuan Mohd Norhafizie mengantikan mereka berdua dengan Ahmad Ezrie Shafizie serta Shafiq Haikal.

Kemasukan dua pemain ini tidak membawa sebarang perubahan sebelum Shukri Nor membunyikan wisel penamat untuk perlawanan diheret ke masa tambahan.

Tiga puluh minit masa tambahan turut menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mencari gol pendahuluan memaksa perlawanan diteruskan dengan sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti memperlihatkan pengalaman Mohd Shahrizan apabila penjaga gol Liga Super Kelantan tersebut menepis dua sepakan penalti Kedah untuk membawa Kelantan muncul juara Piala Emas Raja-Raja buat kali ke-13 sepanjang 70 tahun piala dipertandingkan.

Tiga kad kuning dilayangkan pengadil perlawanan dengan Kedah mendapat dua kad dan Kelantan dilayangkan satu kad kuning.

Rosairil Asrul dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir.

Selaku juara, Kelantan membawa pulang Piala Emas Raja-Raja, wang tunai RM30 000 dan medal manakala Kedah mendapat habuan RM15 000 dan medal selaku naib juara.


Nukilan Hati dari FARIDKAMILMARAVILLA. forza milano ! gomo kelate gomo !

0 kata jiwa anda:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

NUFFNANG

Add This

Sebarkan ke seluruh alam maya!

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP