Analisis Jiwa Orang Kelantan

>> Wednesday, May 26

Analisis jiwa orang Kelantan
Oleh – A. Aziz Deraman


Rupa-rupanya tulisan penulis tentang ‘Hayati 1Malaysia Cara Samo So Kelate’ dalam Sinar Harian 12 Mei 2010 mendatangkan beberapa reaksi. Ada rakan-rakan dan pembaca tetap Ruangan Geger Sokmo mengirimkan emel dan SMS. Ada yang bersetuju dan ada yang meminta penjelasan tambahan. Antaranya, mempersoalkan bukankah jiwa orang Kelantan itu tebal dengan semangat kenegeriannya sehingga di mana sahaja, mereka menampakkan hati dan jiwa Kelantan itu! Jadi bagaimanakah dapat dijelaskan bahawa rakyatnya berhati Kelantan dan berjiwa Malaysia? Dalam tulisan asal itu, penulis cuma sentuh sekelumit sifat dan citra orang Kelantan dalam kehidupan politik, ekonomi dan sosial budaya mereka. Memang luas dan dalam kalau mahu dibahaskan.



Di sini penulis mahu tambah sedikit sahaja lagi. Rakyat atau orang Kelantan dari pelbagai keturunan etnik itu memang merasai nilai kesatuan dan perpaduan mereka. Ada peristiwa-peristiwa pengalaman politik yang boleh kita telusuri. Orang Kelantan tidak gemar kalau mereka dikatakan bersemangat kenegerian dan kedaerahan. Mereka lebih kekitaan dengan rasa ‘samo kito’. Mereka boleh berkelahi kerana politik dalaman tetapi bersatu hati dalam budaya. Bagi orang Melayu Kelantan, faktor agama menjadi pengikat mereka. Kadang-kadang kedegilan pun ada. Misalnya, ketaksuban negatif terhadap sesuatu yang mereka yakini, benar atau betul ditelan sahaja. Ada ketaksuban terhadap tokoh atau agama yang dipergunakan demi politik. Kadang-kadang orang Kelantan itu seperti orang Cina dalam berpolitik. DAP, MCA dan Gerakan tetap bersama untuk satu matlamat. Di luar Kelantan, kesatuan orang kelantan lebih kuat untuk bersama dan berkerjasama. Di Kelantan ada perpecahan politik, terutama Pas dengan UMNO, meskipun perpecahan tidak ketara dalam bidang-bidang yang lain.



Tun Dr Mahathir ketika mengulas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2000, apabila Kelantan tumbang kepada APU (Angkatan Perpaduan Ummah), melabelkan kononnya orang Kelantan kuat dengan semangat kenegerian atau kedaerahan itu. Orang Kelantan marah. Pertarungan Mahathir-Tengku Razaleigh tidak boleh diterima rakyat Kelantan. Mereka mahu Melayu bersatu. Jadi sebab itu mereka menyatakan sikap mereka melalui pilihanraya. Calon pembangkang telah meraih belasan ribu majoriti undi, sesuatu yang luar biasa, misalnya belasan ribu majoriti Hajah Ilani Ishak ketika mengalahkan Tengku Ahmad Ritahudeen. Maknanya ahli UMNO tidak undi UMNO pun, kerana marah. Situasinya bagaikan gelombang.



Ada satu ungkapan Kelantan berbunyi, ‘Kalau sukakan seseorang, ayam tengah mengerang pun disembelih, kalau benci, hampas budu pun tak diangkat’. Apakah orang Kelantan bersikap kenegerian, sedangkan PRU 2000, 2004 dan 2008, ada ‘orang luar’ diberi tempat. Mohamed Sabu, Daeng Mariok, Nasharuddin Mat Isa, Dr Mohd Hatta Ramli, Sallehuddin Ayub, Saifuddin Nasution menjadi Ahli Parlimen bukan di daerah asal mereka. Jauh sebelum itu Zulkifli Muhammad adalah orang Perak. Maknanya orang Kelantan tidak tolak ‘orang luar’. Kalau bermain dengan orang Kelantan, mereka akan kata ‘kito ni oghe mikir, kito tahu gapo hok kita nok’. UMNO dan BN ada harapan kembali dengan syarat ketua-ketua jangan bercekah, hormat menghormati dan tunjukkan satu padu itu. Di Kelantan yang kuat adalah rakyat. UMNO dan BN lemah kerana percakaran dan sifat egoistis atau agah. Cuba perbaiki dengan sifat keimanan, takwa dan benar-benar ikhlas.



Ramai anak-anak Kelantan berjaya di luar Kelantan, menjadi tokoh ilmuan, agamawan, sarjana, pentadbir, korporat dan kongolemerat yang cemerlang. Dengan nilai-nilai agama dan budaya di dada, mereka membantu mendorongkan kemajuan negara. Betapa ramai orang Kelantan berhijrah secara kekal atau sementara ke Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Johor dan ke negeri-negeri lain ‘mencari makan’ dengan membuka perniagaan, restoran, berkerja dengan kerajaan dan swasta. Hal sedemikian tidak sewajarnya diperlekehkan mereka atau negeri mereka akibat kesan dari terencatnya kemajuan Kelantan. Kuala Lumpur bagaikan negeri kedua bagi orang Kelantan dan mereka berada sehingga Sabah dan Sarawak.



Peluang-peluang memang banyak di luar Kelantan. Mereka berada di luar Kelantan, sebab Malaysia itu negara mereka. Kehadiran mereka, sekurang-kurangnya boleh meningkatkan penglibatan bumiputera dalam segala macam bidang. Mereka sama seperti bumiputera yang lain, tidak mahu menjadi warga negara kelas ketiga. Hal ini sesuai dengan gesaan bahawa setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang boleh maju kalau betul didikan dan diberi peluang. Generasi muda Kelantan juga melimpah di pusat-puat pengajian tinggi awam dan swasta, institut pendidikan guru dan kolej-kolej bahkan di luar negara. Di Kelantan peluang pekerjaan sangat kecil, industri, kilang-kilang tidak berkembang. Faktor politik menjadikan Kelantan begitu. Perubahan politik drastik boleh berlaku, jika ada perubahan sikap pemimpin.



Kelantan lazimnya penuh sesak dengan ribuan kenderaan setiap tibanya perayaan. Jalan raya melalui Gua Musang atau Grik-Jeli hampir tersumbat, jika sehari dua sebelum Aidil Fitri. Setiap hari pun, puluhan bas ekspres berulang alik ke Kuala Lumpur dan ke bandar-bandar utama di Semenanjung. Pesawat Air Asia, Firefly dan MAS tidak kecewa dengan jumlah penumpang. Natijahnya bahawa orang Kelantan itu dinamik, suka bergerak, melancong, membawa barang dagangan, ziarah dan sebagainya. Di sekitar Kota Bharu, kedai-kedai makan boleh dibuka sehingga larut malam. Kopitiam muncul bagaikan cendawan. Natijahnya mereka suka berbelanja, secara kecil atau sederhana. Ibu bapa masih menerima ratusan ringgit dari anak-anak mereka yang berkerja di luar Kelantan. Bank-bank tetap segar. Ekonomi menjadi hidup dan kemesraan manusia bertaut, meskipun tidak sehebat ibu kota.



Jika formula 1Malaysia diharapkan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi, maka kedua-duanya memang ada pada jiwa orang Kelantan. Penulis bukan memuji sebab orang Kelantan pun ada banyak kelemahan. Kadang-kadang ketaksuban kepada tokoh-tokoh tertentu pun merbahaya untuk masa depan. Ada keyakinan dan kepercayaan melulu, sedangkan tidak semuanya benar dan betul. Ada orang berselindung disebalik agama, sebab agama memberi kekuatan dan nilai bersih atau tazkiyyah. Kepincangan begini pun patut diperhatikan dan dilihat bagaimana konteksnya.



Dalam konteks Kelantan, kalau dikatakan penerimaan, memang sedia ada unsur begitu. Para penulis bukan Melayu berasal dari Kelantan terus bergiat cergas dalam sastera kebangsaan atau menjadi pegawai kebudayaan dan tidak pun menegakkan sastera kauman atau sukuan. Nama-nama seperti Dr Lim Swee Tin, Awang Abdullah, Azlee Lee (Lee Chong Beng), Selina Lee, Eh Deng, Chua Tek Lui, Seri Neng Buah dan lain-lain. Tanya mereka tentang konsep ‘oghe kito’ dan ‘oghe luar’. Cara begitulah yang kita harapkan rakyat Malaysia menerima hakikat sejarah, kebudayaan dan sistem pemerintahan Malaysia.



Pada penulis nilai-nilai aspirasi 1Malaysia yang disarankan Perdana Menteri sudah tersirat dalam kehidupan Kelantan. Tentang kecemerlangan misalnya, ambil sahaja contoh kecil. Seorang penjual nasi dagang atau kuih muih akan sentiasa berlawan (berbadi atau bertewas) sedap masakan mereka. Orang akan tahu kedai Che Yah Din Nasi Daun Pisang yang sering menjadi tumpuan. Orang tahu ‘akok’ atau ‘lompat tikam’ mana yang paling sedap, di kedai Peringat atau di Pengkalan Chepa. Mereka bertewas wau, gasing, rebana, kertok, dikir barat dan segala jenis permainan dan kesenian tradisional yang menunjukkan semangat perlumbaan. Itu budaya kecemerlangan, mencapai terbaik dan kemenangan. Itu juga maknanya al falah.



Penerimaan prinsip-prinsip kenegaraan berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara, sesuatu yang dijunjung tinggi orang Kelantan. Mereka tahu keluhuran Perlembagaan Negeri. Orang Kelantan juga mahukan keadilan sosial. Mereka faham antara hak negeri dengan hak negara, hak antara kaum dan sebagainya. Untuk itu penterjemahan peruntukan Perlembagaan termasuk keseimbangan pembangunan dalam konsep kenegaraan seperti pendidikan, kemajuan agama dan infrastruktur sangat ditunggui. Wajah Kelantan boleh berubah kerana perangai rakyatnya, bijak dalam berkira dan lembut dalam berbicara. Sifat Melayu begitu, yang keras dilawan keras, yang lembut pada bijaksana. Jika ada seseorang cerdik pandai Kelantan tidak tahu membodek, menulis atau mengeluarkan pendapat yang tidak sama, itulah maknanya sebuah pendirian. Jangan melabelkan si dia itu penentang atau bukan pejuang, kerana kita jangan terperangkap dengan fitnah dan hasutan.


Sumber: www.theredwarriors.com/v2/


Nukilan Hati dari FARIDKAMILMARAVILLA. forza milano ! gomo kelate gomo !

4 kata jiwa anda:

Unknown November 06, 2010 1:54 AM  

Allah tidak memandang rupa, tapi hati manusia. kan?
kembalilah pada Al-quran dan as-sunnah yang Nabi tinggalkan..

p/s: i.c aku org pahang, tp mak and
daddy klatan. huhu.

maldinifaridkamil December 17, 2010 3:32 AM  

yeke..dikira org kelantan la gak kan camtu..heheh

Anonymous December 18, 2010 2:56 PM  

tu baru kt malaysia...cuba lihat di perth,australia...org kelantan yg berjaya bersepah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

NUFFNANG

Add This

Sebarkan ke seluruh alam maya!

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP