Nizar Diisytihar MB Perak.

>> Tuesday, May 12


Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini semalam mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dalam keputusannya berkata, jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) kerana Mohammad Nizar tidak pernah kehilangan kepercayaan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam penghakiman yang dibaca secara lisan selama lebih sejam bermula jam 2.30 petang, hakim itu berkata, undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar hanya boleh dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sidang DUN.

"Dalam kes ini, tidak dapat dipertikaikan fakta bahawa tiada undi tidak percaya dibuat Adun terhadap pemohon (Mohammad Nizar) di persidangan DUN.

"Malah, beliau menghadap Sultan untuk memohon pembubaran DUN bukannya kerana sudah kehilangan kepercayaan majoriti DUN tetapi sebaliknya memohon pembubaran itu bagi menyelesaikan kebuntuan dalam DUN dan hal pentadbiran Perak," katanya.

Mengulas keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan hari ini kerana yakin mempunyai kes dan asas yang kukuh.

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menerima keputusan itu dengan hati dan fikiran terbuka, menegaskan beliau serta enam Ahli Exconya akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

Mohammad Nizar pula mengumumkan akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya negeri dapat diadakan secepat mungkin untuk menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

Kemelut kepemimpinan di Perak berlarutan sejak lebih 100 hari selepas Zambry dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lalu apabila kerajaan Pakatan Rakyat kehilangan kepercayaan majoriti di DUN berikutan tiga wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong BN.

Abdul Aziz berkata, walaupun BN sudah memenangi 31 kerusi DUN, ia tidak memohon supaya sidang DUN diadakan bagi melakukan undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar.

"Berdasarkan prinsip demokrasi dan undang-undang, undi tidak percaya perlu dilakukan di sidang DUN dan hanya dengan cara itu seseorang Menteri Besar boleh digugurkan atau diminta meletakkan jawatannya," katanya.

Abdul Aziz berkata, Menteri Besar tidak memegang jawatan itu berdasarkan kepada kehendak Sultan.

"Bagaimanapun mahkamah berpendapat, kuasa Sultan untuk meminta Menteri Besar meletakkan jawatan adalah tidak mengikut peruntukan dalam Perkara 16(6) UTKP kerana artikel itu adalah sangat jelas dan bukannya tidak nyata.

"Sungguhpun Sultan mempunyai kuasa prerogatif dalam melantik Menteri besar, tetapi sebaik dilantik Menteri Besar hanya perlu menjawab kepada DUN dan bukannya orang lain," katanya.

Abdul Aziz juga tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah dalam kes itu dan Zambry, bahawa hanya ada dua keadaan yang membolehkan Menteri Besar memohon pembubaran DUN.

"Abdul Gani menghujahkan bahawa Menteri Besar hanya boleh memohon pembubaran DUN apabila tempoh perkhidmatan DUN berakhir mengikut Perkara 36(2) UTKP atau jika kehilangan kepercayaan majoriti.

"Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan itu kerana mengikut Perkara 36 UTKP, terdapat banyak keadaan yang membolehkan Menteri besar memohon pembubaran DUN daripada Sultan dan ia adalah bergantung kepadanya untuk menentukan bilakah waktu sesuai untuk membuat permohonan itu," katanya.

Abdul Aziz turut tidak bersetuju hujahan Abdul Gani dan Zambry sebelum ini yang menyatakan Mohammad Nizar perlu meletak jawatan walaupun beliau enggan berbuat demikian.

Katanya, Abdul Gani dan Zambry berhujah menyatakan perkataan 'perlu meletak jawatan' dalam Perkara 16 (6) UTKP bermaksud 'mandatori' serta Mohammad Nizar perlu meletak jawatan atau jawatannya itu akan dianggap kosong.

"Bagaimana jika Menteri Besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun bermaksud 'mandatori', peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai Menteri Besar perlu meletakkan jawatannya," katanya sambil mencadangkan supaya artikel itu dipinda bagi memenuhi lacuna (kekosongan) dalam Perkara 16(6) UTKP.


SUMBER : Berita Harian Online.


Nukilan Hati dari FARIDKAMILMARAVILLA. forza milano ! gomo kelate gomo !

0 kata jiwa anda:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

NUFFNANG

Add This

Sebarkan ke seluruh alam maya!

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP